Asalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Kepada semua Jururawat diseluruh Negeri Sabah dan semua individu yang bergelar Jururawat dimana sahaja anda berada
SYUKUR ALHAMDULILLAH sekali lagi saya berkesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Jururawat kepada semua Warga Jururawat samada yang masih berkhidmat atau pun yang telah bergelar pesara. Sebagai pesara jururawat saya merasa amat bangga kerana telah memilih profesyen Kejururawatan sebagai kerjaya pertama dan terakhir saya. Jasa dan pengorbanan seorang Jururawat telah mendapat pengiktirafan di serantau dunia dimana International Council Of Nursing (ICN) telah menetapkan tarikh 12 Mei sebagai sambutan Hari Jururawat bertepatan dengan tarikh kelahiran Florence Nightangle , The Founder of Modern Nursing.
Seperti biasa International Council Of Nursing akan menyediakan tema-tema yang sesuai dengan situasi semasa dan pada tahun 2025 tema yang telah diangkat adalah “Our Nurses Our Future. Caring For Nurses Strengthen Economies”. Tema ini menekankan kepada kepentingan profesyen Jururawat dalam sistem kesihatan dan impaknya kepada ekonomi globalisasi. Secara tidak langsung hasil daripada perkembangan dan pelaburan dalam bidang Kejururawatan telah menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan peningkatan status ekonomi sesebuah negara.
Pemilihan tema ini amat sesuai kerana didalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, jururawat adalah profesyen yang mendominasi sektor Kesihatan sehingga mereka diumpamakan sebagai ‘tulang belakang’ sistem Kesihatan negara. Dari segi perjawatan , jururawat juga adalah sumber tenaga manusia yang ramai dalam institusi Kesihatan Negara.
Bila kita melihat jauh kehadapan profesyen jururawat sangat-sangat diperlukan memandangkan ramai jururawat yang “senior” dan berpengalaman dengan kemahiran tinggi akan menamatkan perkhidmatan secara berperingkat disebabkan umur persaraan. Maka pihak Kerajaan perlu mengambil insiatif untuk meningkat pengambilan jururawat bukan sahaja untuk mengisi kekosongan tetapi mengambil alih kepakaran serta kemahiran yang telah ditinggalkan oleh jururawat yang bersara.
Selain itu pihak kerajaan juga perlu memberikan sokongan yang padu kepada Jururawat yang telah terlatih untuk mendapatkan latihan tambahan dalam displin tertentu contoh seperti bidang Perawatan Kebidanan, Perawatan Kesihatan Awam ,Pediatrik ,Geriatik. Selain mengikuti Latihan Pos Basik. Jururawat juga diberikan galakan untuk belajar sehingga memperolehi Ijazah, Sarjana dan keperingkat PhD sejajar dengan arus perkembangan teknologi perubatan sekarang. Antara inisiatif lain ialah menyediakan jawatan sesuai apabila mereka tamat latihan nanti dan mengekalkan mereka dalam sistem kesihatan. Ini adalah sebagai salah satu pelaburan jangka masa panjang untuk negara.
Jururawat dengan pengalaman serta kemahiran dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang saya sebut diatas amat diperlukan sebagai Subject Matter Expert (SME) sama seperti apa yang dijalani oleh Pakar-Pakar Perubatan pada masa kini. Sebagai contoh untuk negeri Sabah sendiri kita ada para jururawat yang sedang menjalani Latihan dalam Ijazah Perawatan Kesihatan Awam (PHN). Dengan adanya jururawat berkemahiran serta kepakaran yang sedemikian pasti akan membantu dalam pencapaian kehidupan yang lebih baik kepada rakyat dan seterusnya menjurus kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini saya amat menggalakkan para jururawat di Sabah yang masih jauh perjalanan kerjayanya untuk menyambung pengajian mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing. Belajar bukan sahaja untuk meningkatkan pengetahuan tetapi juga sebagai nilai tambah epada diri anda sendiri. Rebutlah peluang serta kemudahan yang ada. Dengan perkembangan digital teknologi kini proses pembelajaran sekarang semakin mudah. Tidak dinafikan dalam kehidupan sebagai seorang jururawat tugasan harian yang kita lakukan itu juga satu “lifelong learning Process”.
Walau bagaimanapun, kita di negeri Sabah khususnya masih mengalami kekurangan jururawat baik di hospital mahu pun di klinik-klinik Kesihatan. Kita amat mengharapkan Kerajaan akan terus “Caring” kepada profesyen kejururawatan dengan meningkatkan bilangan jawatan jururawat dan seterusnya memperkasakan profesyen kejururawatan seiring dengan perkembangan sektor perubatan dunia. Jangan jadikan masalah ini sebagai penghalang dalam usaha untuk meningkatkan kerjaya kita.
Sebagai Persatuan Jururawat yang julung-julung kali di Sabah kami akan terus menyokong para jururawat semua terutama dari segi meningkatkan perkembangan profesyen kejururawatan seperti mengadakan Seminar, Konferen kejururawatan, CNE on line. Berkat sokongan dari anda semua kami akan lebih berusaha untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti persatuan kearah kebaikan profesyen kejururawatan di Sabah. In sya allah.
Akhir kata, sekali lagi saya mewakili Persatuan merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada warga jururawat di mana saja anda bertugas, anda ibarat sebatang lilin yang menerangi kegelapan malam. Sewajarnya jururawat layak diberikan pengiktirafan seperti sambutan pada hari ini. Semoga anda terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang insan yang berdedikasi, empati, berdaya saing dalam penjagaan dan perawatan kepada pesakit serta sentiasa tabah dan kuat dengan segala cabaran yang mendatang. Jaga kesihatan anda selalu dan teruskan sokongan anda kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA).
“SELAMAT HARI JURURAWAT”
“Our Nurses Our Future. Caring For Nurses Strengthen Economies”.
Daripada:
Hajah Tumble bt Ngadiran @ Tomblow
PRESIDEN SANA (2024-2026)
Posted on 12 May 2025
Posted on 25 February 2025
Kepada semua Jururawat seluruh Negeri Sabah dan Individu yang bergelar
jururawat dimana sahaja anda berada
Asalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,
Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2024 dan dalam beberapa minit dan saat jam lagi kita akan melangkah ke Tahun Baru 2025. Masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari sebab itu ramai para bijaksana selalu berpesan sebagai seorang manusia kita harus mesti pandai mengatur masa sendiri supaya setiap masa dilalui dengan perkara yang mendatangkan hasil yang baik.
Terlebih dahulu marilah kita sama -sama menadah tangan tanda kesyukuran kerana telah melewati tahun 2024 dan diberikan peluang menyambut ketibaan tahun 2025.
Dengan pertambahan tahun demi tahun usia perkhidmatan kita sebagai seorang jururawat juga bertambah dan sudah tentu banyak kenangan manis, pahit dan momen yang sukar dilupakan dalam tahun yang baru berakhir samada semasa bertugas atau dengan ahli keluarga tercinta.
Walaupun dengan perkembangan Industrial Revolution di zaman ini, Jururawat tetap memberikan perkhidmatan penjagaan terus keatas pesakit, berhubung secara langsung dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan seorang pesakit, memberi pendidikan kepada pesakit dan keluarga disamping terlibat dengan penyelidikan,
pengurusan dan pentadbiran dalam sistem Pentadbiran Kesihatan yang semakin canggih.
Tidak dinafikan cabaran dan ujian dalam kerjaya seorang jururawat seperti kerenah pesakit , aduan dari orang awam, kekurangan anggota, masa bertugas yang panjang sedikit sebanyak telah menambahkan tekanan dalam tugas harian namun semua itu dapat diatasi dengan adanya semangat serta kesabaran yang tinggi dalam diri seorang jururawat. Justru itu bidang kejururawatan adalah tugas yang mulia dan mereka yang terlibat dalam tugas ini adalah “Unsung Heroes”
Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Jururawat samada yang masih bertugas atau telah bersara atas sokongan padu kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA) hingga ke hari ini. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2024 seperti Mesyuarat Dwi Tahunan , Seminar
kejururawatan dan Majlis Makan Malam sempena sambutan Hari Jururawat, Persatuan juga telah berjaya menganjurkan Sabah Medico Legal Nursing Conference yang diadakan di Hospital Tawau hasil kerjasama SANA Induk dan SANA Kawasan Tawau. Program- program seperti tersebut diatas tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan dari semua ahli persatuan.
Saya amat menghargai dan mengalu-alukan sokongan anda untuk bersama-sama memantapkan dan mengembangkan Persatuan ini kerana tanpa anda Persatuan kita tidak akan dapat melangkah kehadapan. Saya amat mengalu-alukan para jururawat yang belum menjadi ahli untuk menyertai Persatuan dan kongsikan ide bernas anda untuk menambahbaik pengurusan Persatuan ini.
Sebelum menutup bicara, di awal tahun 2025 ini adalah waktu yang baik untuk kita merenung, refleksi diri dan memulai sesuatu dengan semangat baru. Semoga kita dapat mencapai tujuan dan aspirasi dalam perjalanan hidup kita masing-masing,
Saya mewakili AJK Tertinggi Persatuan mengucapkan selamat menyambut ketibaan Tahun Baru 2025 dan marilah sama-sama kita berdoa agar semua warga jururawat wira dan wirawati sentiasa dalam keadaan sihat, dilindungi keselamatan dan diberikan penghargaan sewajarnya.
“BERKHIDMAT MUTU TINGGI”
Ingatan Ikhlas daripada:
Presiden SANA
(2024-2026)
Posted on 01 January 2025
Asalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Kepada semua Jururawat diseluruh Negeri Sabah dan semua individu yang bergelar Jururawat dimana sahaja anda berada
Saya amat bersyukur sekali lagi berkesempatan untuk mengungkap ucapan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat samada yang masih bertugas dan telah bersara dari perkhidmatan. Sebagai pesara jururawat saya merasa amat bangga kerana disebalik penat jerih, tekanan dan kekangan semasa
bertugas ada pihak yang mengiktirafkan jasa dan sumbangan seorang insan bergelar Jururawat dengan mengadakan sambutan pada 12 Mei setiap tahun.
Seperti kelaziman International Council Of Nursing akan menyediakan tema-tema sesuai dengan perkembangan semasa. Pada tahun ini tema yang telah diangkat adalah “Our Nurses Our Future, The Economic Power of Care”. Tema ini amat besar maknanya yang mana ia menekankan manafaat kepada
ekonomi dan kesejahteraan sosial sesebuah negara hasil daripada pembangunan dalam bidang Kejururawatan.
Pemilihan tema ini amat sesuai kerana didalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, jururawat adalah profesyen yang mendominasi sektor Kesihatan sehingga mereka diumpamakan sebagai ‘tulang belakang’ sistem Kesihatan negara.
Kemahiran dan kepakaran yang diperolehi melalui latihan dan pengalaman “hands on” membuatkan seorang jururawat amat diperlukan untuk memulakan sesuatu perkhidmatan baru samada di hospital dan di Kesihatan awam.
Senario yang sama juga berlaku di hospital swasta dimana jururawat yang berkemahiran serta berpengalaman menyumbang nilai tambah kepada organisasi tersebut.
Walaubagaimanapun, kita di negeri Sabah khususnya masih mengalami kekurangan jururawat baik di hospital mahu pun di klinik-klinik Kesihatan. Kita amat mengharapkan Kerajaan akan terus menyokong profesyen kejururawatan dengan meningkatkan bilangan jawatan jururawat dan seterusnya memperkasakan profesyen kejururawatan seiring perkembangan sektor perubatan dunia.
Saya juga mengharapkan kepada seluruh warga jururawat didalam dan diluar Negeri Sabah untuk terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang insan yang berjiwa besar, empati, berdaya saing dan berdedikasi dalam penjagaan dan rawatan kepada pesakit. Disamping itu jururawat harus mematuhi Standard Operating Prosedur semasa menjalankan rawatan bagi memastikan rawatan yang diberikan tetap berkualiti dan mengelakkan aduan dari pesakit serta penjaga.
Kepada yang ingin memperkasakan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam profesyen mulia ini saya menggalakkan anda untuk menyambung pengajian mengikut kemampuan dan keperluan maisng-masing seperti Latihan Pos Basik, ijazah dan sarjana sehingga keperingkat PhD.
Saya mewakili Persatuan merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada warga jururawat di mana saja anda bertugas , anda ibarat sebatang lilin yang menerangi kegelapan malam. Sewajarnya jururawat layak diberikan pengiktirafan seperti sambutan pada hari ini. Teruskan sokongan anda kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA)
Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli Persatuan Jururawat yang baru sahaja terpilih dan dilantik sebagai Ahli Jawatan Kuasa Induk SANA untuk tempoh tahun 2024-2026.
“SELAMAT HARI JURURAWAT”
Daripada:
Hajah Tumble bt Ngadiran @ Tomblow
PRESIDEN SANA (2024-2026)
Posted on 12 May 2024
Asalamualaikum wbkt, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya
Syukur Alhamdulilah ke hadrat Ilahi kerana atas limpah rahmatnya sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut Hari Jururawat Antarabangsa yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun sempena dengan kelahiran Florence Nightangle “The Founder of Modern Nursing“
Tema yang dipilih oleh International Council Of Nursing (ICN) pada tahun ini sangat bermakna kepada warga Jururawat iaitu “Our Nurses Our Future”. Pilihan tema ini amat bertepatan dengan senario sekarang dimana kekurangan tenaga jururawat dialami secara global.
Semua maklum Jururawat adalah tulang belakang kepada sistem perkhidmatan kesihatan dan merupakan sumber tenaga kerja yang terbesar baik di KKM atau pun di fasiliti swasta. Jururawat bukan sahaja berada dibarisan hadapan tetapi sebagai “pillar” kepada setiap jenis perkhidmatan yang terdapat samada di hospital atau fasiliti kesihatan awam.
Peranan jururawat lebih menyerlah semasa pandemik Covid 19 dimana jururawat berada dibarisan hadapan bersama-sama berjuang menentang musuh yang tidak kelihatan dengan petugas kesihatan yang lain. Warga jururawat tetap cekal dan tabah menempuhi segala jenis cabaran seperti berhadapan dengan penularan penyakit berjangkit, karenah pelanggan yang semakin bijak serta cabaran media sosial media tanpa mengira keselamatan diri mereka.
Berlandaskan peranan besar yang digalas oleh para jururawat secara tidak langsung jururawat juga sebagai Leader (pemimpin) dalam lingkungan kerjaya mereka seperti menyelaras sesuatu aktiviti di hospital atau klinik. Contohnya para Jururawat di lapangan klinikal di hospital sudah sinonim dengan gelaran Team Leader dalam aktiviti penjagaan pesakit. Seorang Jururawat Masyarakat juga mempunyai peranan sebagai seorang ketua atau pemimpin di klinik kesihatan tempat dia bertugas.
Tanpa mengira gred hakiki, skop tugas mereka dan berbekal pengalaman serta kemahiran yang diasah sejak tamat latihan seorang jururawat secara semulajadi akan berkembang menjadi seorang Pemimpin.
Kita memerlukan warga jururawat hari ini untuk terus memimpin dan mendidik masyarakat bagi memastikan kesihatan mereka terjamin selagi hayat dikandung badan.
Sempena sambutan Hari Jururawat tahun ini saya mewakili Persatuan ingin menyeru kepada semua warga jururawat terus berusaha melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan agar lebih mampan berhadapan dengan cabaran globalisasi yang bakal melanda pada masa akan datang.
Bagi yang masih mampu untuk belajar rebutlah peluang untuk mengambil Pos Basik, Ijazah serta Sarjana Kejururawatan atau ke peringkat PhD agar lebih berdaya saing dan in sya allah suatu hari nanti warga jururawat dipandang tinggi dan disegani oleh masyarakat.
Kepada jururawat yang telah bersara,anda masih boleh menyumbang kepada sistem kesihatan dengan mengikuti aktiviti-aktiviti “Outreach” kesihatan serta sentiasa memberikan bimbingan dan motivasi kepada jururawat generasi muda.
Pesanan kepada semua jururawat yang masih bertugas agar menjaga tatasusila serta nilai-nilai murni seorang jururawat yang “Caring” walaupun dimana anda bertugas dan sentiasa menjaga kesihatan sendiri. Sentiasa bekerjasama dengan anggota kesihatan yang lain sebagai satu pasukan demi merealisasikan misi dan misi Kementerian Kesihatan. Jururawat memainkan peranan penting dalam mengubah takrif kesihatan rakyat sejagat dan jasa mu tetap dikenang sampai bila-bila dan andalah pemimpin masa hadapan.
Akhir kalam, terima kasih atas pengorbanan anda Seumpama lilin yang menerangi kegelapan dan teruskan sokongan Tuan/Puan kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA)
Happy Nurses Day, ”Our Nurses Our Future”
Ingatan Ikhlas daripada:
Presiden SANA
Ahli EXCO SANA (2022-2024)
Posted on 12 May 2023
Sabah Nurses Association, Lot 13-3, Block B, Lintas Square, Jalan Lintas, 88300, Kota Kinabalu Sabah
Disclaimer: SANA shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website
© 2025 - Sabah Nurses Association. Powered by CAL Computer Learning Centre