Kepada semua Jururawat diseluruh Negeri Sabah dan luar Negeri Sabah termasuk semua Individu yang bergelar jururawat dimana sahaja anda berada
Asalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2022 dan beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2023. Begitu pantas waktu berlari tanpa di sedari usia perkhidmatan kita sebagai seorang jururawat juga bertambah dan begitu juga perjuangan yang telah kita lalui sepanjang menjadi seorang Jururawat.
Sebagai pembuka bicara , saya ingin mengucapkan SYABAS kerana anda jururawat wira wati tetap berada dibarisan hadapan walaupun serangan Covid-19 mula reda namun anda tetap dalam kesiapsiagaan setiap masa samada yang bertugas di Kesihatan atau di Hospital.
Seperti sedia maklum ada dikalangan kita sudah menempuh tahun sebelumnya dengan penuh rintangan dan cabaran dan pastinya terdapat banyak peristiwa yang pahit mahupun yang manis terjadi dalam kehidupan masing-masing sepanjang 365 hari tersebut. Saya berharap biarlah peristiwa tersebut menjadi sejarah dalam kehidupan sebagai seorang petugas kesihatan dan juga sebagai panduan pada masa akan datang.
Walaupun telah bersara dari perkhidmatan namun saya masih dapat membayangkan perasaan , tekanan serta penat jerih yang anda semua lalui apa lagi bertugas dalam keadaan sekarang dimana pertambahan pesakit, kemajuan teknologi perubatan telah berjaya mengesan banyak masalah perubatan membuatkan persekitaran tempat kerja sentiasa sibuk dan hingar bingar. In sya allah anda semua akan mendapat ganjaran sewajarnya atas tugas yang mulia ini.
Dikesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Jururawat samada yang masih bertugas atau bersara atas sokongan padu kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA). Teruskan sokongan anda untuk memantapkan dan mengembangkan Persatuan ini kerana tanpa anda Persatuan kita tidak akan melangkah kehadapan.Saya amat mengalu-alukan ide bernas untuk menambaikan pengurusan Persatuan ini.
Sepanjang tahun 2022 , banyak pencapaian telah dicapai melalui kerjasama AJK Induk serta ahli –ahli Persatuan dari seluruh Negeri. Antaranya sambutan Hari Jururawat secara Maya, mengadakan CNE berjadual secara talian, Mesyuarat Agung secara maya, menaja ahli menghadiri seminar dan konferen yang diadakan dalam negeri serta penganjuran Gala Night dengan sambutan yang menggalakkan. Semua ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan anda semua.
Kepada warga jururawat yang berkeinginan untuk belajar teruskan usaha dengan lebih kuat lagi maka kejayaan yang lebih tinggi dan impian dalam kerjaya yang mahu direalisasikan mampu dizahirkan dengan sempurna.
Ucapan Tahniah dan syabas juga saya selitkan khas kepada Jururawat yang telah mendapat kenaikan pangkat dan gred sepanjang tahun 2022 .Saya doakan semoga anda lebih cemerlang di tempat atau posisi yang baru. Bagi yang belum ada rezeki mohon terus bersabar sebab giliran anda akan tiba jua dan teruskan berkhidmat dengan dedikasi dan berkualiti. Pesanan saya kepada anda semua tidak kira jawatan yang anda pegang , dimanapun anda bertugas pastikan klien tetap dihormati dan sentiasa amalkan aplikasi 10 S dalam budaya kerja harian.
Tidak lupa juga saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ybhg. Datuk Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, sebagai Penasihat kepada Persatuan diatas sokongan yang berterusan kepada Persatuan ini sepanjang tahun 2022.
Akhir kalam sekali lagi terima kasih kepada AJK Induk atas sokongan serta perjuangan tanpa henti bersama-sama saya menjalankan amanah yang diberikan.
Jiwa akan sepi tanpa teman,
Hati akan Mati tanpa iman
Hari ini adalah kenyataan,
Semalam adalah kenangan,
Esok adalah impian
Jadi, sucikan lah hati
Jernihkan fikiran
Sambutlah Tahun Baru dengan keazaman baru
“BERKHIDMAT MUTU TINGGI”
Ingatan Ikhlas daripada:
Presiden SANA
(2022-2024)
Posted on 31 December 2022
Sabah Nurses Association, Lot 13-3, Block B, Lintas Square, Jalan Lintas, 88300, Kota Kinabalu Sabah
Disclaimer: SANA shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website
© 2024 - Sabah Nurses Association. Powered by CAL Computer Learning Centre