UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU 2025 DARI PRESIDEN SANA



Kepada semua Jururawat seluruh Negeri Sabah dan Individu yang bergelar
jururawat dimana sahaja anda berada

Asalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2024 dan dalam beberapa minit dan saat jam lagi kita akan melangkah ke Tahun Baru 2025. Masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari sebab itu ramai para bijaksana selalu berpesan sebagai seorang manusia kita harus mesti pandai mengatur masa sendiri supaya setiap masa dilalui dengan perkara yang mendatangkan hasil yang baik.

Terlebih dahulu marilah kita sama -sama menadah tangan tanda kesyukuran kerana telah melewati tahun 2024 dan diberikan peluang menyambut ketibaan tahun 2025.

Dengan pertambahan tahun demi tahun usia perkhidmatan kita sebagai seorang jururawat juga bertambah dan sudah tentu banyak kenangan manis, pahit dan momen yang sukar dilupakan dalam tahun yang baru berakhir samada semasa bertugas atau dengan ahli keluarga tercinta.

Walaupun dengan perkembangan Industrial Revolution di zaman ini, Jururawat tetap memberikan perkhidmatan penjagaan terus keatas pesakit, berhubung secara langsung dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan seorang pesakit, memberi pendidikan kepada pesakit dan keluarga disamping terlibat dengan penyelidikan,
pengurusan dan pentadbiran dalam sistem Pentadbiran Kesihatan yang semakin canggih.

Tidak dinafikan cabaran dan ujian dalam kerjaya seorang jururawat seperti kerenah pesakit , aduan dari orang awam, kekurangan anggota, masa bertugas yang panjang sedikit sebanyak telah menambahkan tekanan dalam tugas harian namun semua itu dapat diatasi dengan adanya semangat serta kesabaran yang tinggi dalam diri seorang jururawat. Justru itu bidang kejururawatan adalah tugas yang mulia dan mereka yang terlibat dalam tugas ini adalah “Unsung Heroes”

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Jururawat samada yang masih bertugas atau telah bersara atas sokongan padu kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA) hingga ke hari ini. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2024 seperti Mesyuarat Dwi Tahunan , Seminar
kejururawatan dan Majlis Makan Malam sempena sambutan Hari Jururawat, Persatuan juga telah berjaya menganjurkan Sabah Medico Legal Nursing Conference yang diadakan di Hospital Tawau hasil kerjasama SANA Induk dan SANA Kawasan Tawau. Program- program seperti tersebut diatas tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan dari semua ahli persatuan.

Saya amat menghargai dan mengalu-alukan sokongan anda untuk bersama-sama memantapkan dan mengembangkan Persatuan ini kerana tanpa anda Persatuan kita tidak akan dapat melangkah kehadapan. Saya amat mengalu-alukan para jururawat yang belum menjadi ahli untuk menyertai Persatuan dan kongsikan ide bernas anda untuk menambahbaik pengurusan Persatuan ini.

Sebelum menutup bicara, di awal tahun 2025 ini adalah waktu yang baik untuk kita merenung, refleksi diri dan memulai sesuatu dengan semangat baru. Semoga kita dapat mencapai tujuan dan aspirasi dalam perjalanan hidup kita masing-masing,

Saya mewakili AJK Tertinggi Persatuan mengucapkan selamat menyambut ketibaan Tahun Baru 2025 dan marilah sama-sama kita berdoa agar semua warga jururawat wira dan wirawati sentiasa dalam keadaan sihat, dilindungi keselamatan dan diberikan penghargaan sewajarnya.

“BERKHIDMAT MUTU TINGGI”

Ingatan Ikhlas daripada:

Presiden SANA
(2024-2026)

Posted on 01 January 2025



Sabah Nurses Association, Lot 13-3, Block B, Lintas Square, Jalan Lintas, 88300, Kota Kinabalu Sabah

Disclaimer: SANA shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website


© 2025 - Sabah Nurses Association. Powered by CAL Computer Learning Centre