Kepada Semua Jururawat di Malaysia khususnya Yang Bertugas di Negeri Sabah
ASALAMUALAIKUM, SALAM SEJAHTERA, SALAM AIDILFITRI
Pertama sekali saya ingin mengucapkan Syukur Alhamdulilah kerana sekali lagi kita bersama-sama menyambut Hari Jururawat Sedunia yang diraikan pada 12 Mei 2022 .Tarikh ini dipilih bertepatan dengan kelahiran Florence Nightangle “The founder of Modern Nursing“ dan setiap tahun International Council Of Nursing menentukan tema sambutan yang berlainan. Pada tahun ini tema yang dipilih adalah “A Voice to lead: Invest in Nursing and Respect Rights To Secure Global Health”.
Tema ini memfokuskan kepada kepentingan jururawat dalam sistem kesihatan dan betapa khidmat jururawat berganding dengan tenaga kerja kesihatan yang lain amat diperlukan apabila WHO mengistiharkan Covid-19 sebagai Pandemik pada bulan Mac tahun 2020.
Perjuangan pengorbanan serta komitmen tinggi para jururawat yang bertugas siang dan malam, memberikan perkhidmatan kepada pesakit semasa pandemik tanpa mengira latar belakang, mereka telah memberikan impak yang besar di mata masyarakat dan amat disanjungi di merata dunia.
Berikutan pandemik yang melanda hampir seluruh dunia, keperluan seorang jururawat yang berpengalaman dan dilengkapi dengan latihan pos basik seperti perawatan Rapi, Kawalan Infeksi sangat kritikal termasuk negara kita sendiri. Keadaan pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi akibat dijangkiti virus covid-19 memerlukan kemahiran serta kepakaran jururawat bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang sewajarnya dan keselamatannya terjamin.
Peningkatan keperluan tenaga jururawat juga sangat mendesak sehingga pihak Kementerian terpaksa mengambil jururawat secara kontrak bagi memenuhi keperluan di hospital-hospital, dan juga Pusat kuarantin Berisiko Rendah.
Bagaimanapun sebagai seorang jururawat adalah penting untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah holistik, sentiasa memenuhi standard dan tahap pengetahuan sentiasa dikemaskini .Maka disini saya ingin menasihati para jururawat yang baru dalam profesion yang mulia ini, tampillah ke hadapan untuk mempersiapkan diri dengan mengikuti kursus pos basik atau kepakaran yang diperlukan di hospital, klinik kesihatan atau mana sahaja anda bertugas.
Seorang jururawat yang cemerlang bukan sahaja perlu ada ciri-ciri penyayang, sensitif tetapi perlu berfikiran kritis dan boleh membuat keputusan yang bijak terutama dalam situasi kecemasan atau ketiadaan ketua atau penyelianya. Sekiranya anda terus berusaha dan bekerja keras untuk mencapai tahap akademik yang lebih tinggi seperti Ijazah, Sarjana dan ke peringkat PhD. Insya Allah, jururawat di Sabah setanding dengan jururawat di persada antarabangsa.
Tema tahun ini bukan sahaja mensasarkan keperluan tenaga jururawat tetapi juga pentingnya untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat kepada warga jururawat bagi memastikan mereka sentiasa bekerja dalam keadaan sihat dan selesa bagi mengoptimakan penyampaian perkhidmatan kepada klien.
Kepada pemimpin jururawat, menjadi tanggunjawab kita bersama untuk memastikan anak buah kita aktif dan ceria ditempat kerja serta terpelihara kesihatan mental mereka. Selalulah berinteraksi dengan mereka dan selami jiwanya serta berikan bimbingan kepada yang muda.
Saya amat mengkagumi kecekalan dan semangat kental warga jururawat di Sabah yang sehingga hari ni masih berjuang memutuskan rantaian Covid-19 walaupun kita sedang dalam transisi ke fasa endemik. Terdapat jururawat kita yang sedia bertugas dalam keadaan yang serba kekurangan, meredah bukit dan sungai, di bawah sinaran matahari dan titisan hujan demi memastikan masyarakat menerima perkhidmatan yang disediakan. Yang berkeluarga pula sanggup berpisah demi memenuhi arahan dan menjalankan amanah yang telah dipegang.
Saya mewakili Persatuan merakamkan ucapan Syabas dan tahniah kepada jururawat wira dan wirawati dimana sahaja anda bertugas dan anda semua layak diiktiraf seperti sambutan pada hari ini.
Sebagai penutup bicara dari saya:_
Pandemik Covid -19 berlalu sudah,
Fasa endemik baru bermula,
Pengalaman baru dilupa tiada,
Kepada Jururawat Wirawati dan Wira,
Anda sehebat Pejuang Negara,
Doa kami mengiringi anda.
Selamat Hari Jururawat kepada semua
Sekian dan terima kasih
Daripada,
Hajah Tumble Bte Ngadiran @ Tomblow
PRESIDEN SANA (2020-2022)
Posted on 12 May 2022
Sabah Nurses Association, Lot 13-3, Block B, Lintas Square, Jalan Lintas, 88300, Kota Kinabalu Sabah
Disclaimer: SANA shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website
© 2024 - Sabah Nurses Association. Powered by CAL Computer Learning Centre