Kepada Semua Jururawat khususnya Yang Bertugas di Negeri Sabah
ASALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA,
Syukur Alhamdulilah, kerana diberikan kesempatan untuk bertemu lagi diruangan ini serta menyambut ketibaan Syawal selepas selesai menjalankan ibadah Puasa dibulan Ramadhan.
Kita amat bersyukur kerana pada tahun ini, dapat menyambut Hari Raya dengan kelonggaran dan keadaan lebih selesa dibandingkan 2 tahun lepas. Ini secara tidak langsung hasil dari ketekunan dan kegigihan para jururawat semua menggembleng tenaga untuk memutuskan rantaian COVID-19. Namun sebagai seorang Jururawat, sama ada kita masih berkhidmat atau telah bersara kita sentiasa berhati-hati kerana musuh yang tak kelihatan dengan mata kasar masih berada dipersekitaran kita. Sebagai Petugas Kesihatan, tanggungjawab kita tetap digalas walaupun dalam suasana kita bergembira, agar sentiasa mengingatkan serta menasihati saudaramara, rakan taulan dan khasnya ahli keluarga dalam penjagaan kesihatan sendiri.
Kepada yang balik ke kampung halaman, saya doakan selamat sampai ke destinasi. Kepada Jururawat yang bertugas semasa Hari Raya janganlah bersedih kerana tugas anda amat diperlukan untuk memastikan penjagaan pesakit yang berkualiti dapat diteruskan. Tidak dilupakan juga kepada rakan jururawat yang menyambut hari istimewa ini dengan memakai sut PPE yang agak panas, banyakkan bersabar demi tugas yang mulia ini. Anda ibarat sebatang lilin menerangi orang lain biar pun terpaksa membahayakan diri sendiri. Insya Allah pengorbanan tuan/puan ada ganjarannya.
Dikesempatan ini, saya mewakili Persatuan ingin mengingatkan semua jururawat agar mengutamakan kesihatan dan keselamatan sendiri sebelum kita memenuhi keperluan klien kita. Sentiasa amalkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri jururawat yang cemerlang dalam melaksanakan tugasan harian.
Doa kami mengiringi anda semua agar sentiasa di lindungi dan meraih kejayaan dalam kerjaya anda sebagai seorang Jururawat Yang Profesional suatu hari nanti.
Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa bersyukur dan diterima amalan kita sepanjang bulan Ramadhan yang mulai ini. Akhir kata dari saya,
Kunjung mengunjung di Hari Raya,
Erat hubungan sesama kita,
Semoga gembira dihari mulia,
Salah dan silap maaf dipinta,
Selamat Hari Raya,
Norma baharu tetap dijaga.
"Kita Jaga Kita"
"Putuskan Rantaian Covid-19"
Daripada,
Hajah Tumble Bte Ngadiran @ Tomblow
PRESIDEN SANA (2020-2022)
Posted on 01 May 2022
Sabah Nurses Association, Lot 13-3, Block B, Lintas Square, Jalan Lintas, 88300, Kota Kinabalu Sabah
Disclaimer: SANA shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website
© 2024 - Sabah Nurses Association. Powered by CAL Computer Learning Centre