
Kepada Warga Jururawat di seluruh Negeri Sabah dan Individu yang bergelar jururawat dimana sahaja anda berada
Asalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,
Tinggal beberapa minit lagi kita akan meninggalkan tahun 2025 dan melangkah ke gerbang Tahun Baru 2026. Rasanya macam baharu saja kita berada dalam tahun 2025 dan tanpa disedari sebentar lagi kita akan menyambut kedatangan tahun 2026.
Marilah kita sama -sama menadah tangan tanda kesyukuran kerana telah melewati tahun 2025 dengan nikmat kesihatan serta rezeki yang baik dan diberikan peluang berada di tahun 2026.
Warga jururawat adalah aset berharga dalam sistem kesihatan negara kerana tugas dan tanggungjawab mereka amat penting dalam memastikan pesakit mendapat rawatan berkualiti dan professional.
Saya pasti banyak kenangan pahit manis sepanjang tahun 2025 bagi seorang yang bergelar jururawat selain menimba pembelajaran dan pengalaman baru semasa menjalankan tugas harian sama ada di-hospital-hospital Kerajaan , Swasta atau pun di fasiliti kesihatan awam.
Walaupun dengan cabaran yang tinggi dalam Industrial Revolution pada masa kini, Jururawat tetap akur memberikan perkhidmatan penjagaan terus keatas pesakit, berhubung secara langsung dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan seorang pesakit, memberi pendidikan kepada pesakit dan keluarga disamping terlibat dengan penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran dalam sistem Pentadbiran Kesihatan yang semakin canggih.
Semoga dengan ketibaan Tahun 2026 persekitaran kerja untuk warga jururawat akan lebih baik dengan adanya inovasi ,prosedur kerja yang lebih teratur serta penambahan anggota jururawat di wad-wad ataupun di klinik-klinik.
Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Jururawat samada yang masih bertugas atau telah bersara atas sokongan padu kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA) terutama dalam aktiviti yang dianjurkan diperingkat Induk. Antara aktiviti yang telah dijalankan sempena sambutan Hari Jururawat pada 12 Mei 2025 adalah lawatan kepada anggota jururawat yang dimasukkan di wad di hospital Queen Elizabeth 1 bersama-sama dengan Unit Kejururawatan Hospital. Acara tahunan seperti Makan Malam Hari Jururawat juga telah berjaya dianjurkan dengan kerjasama Unit kejururawatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada 16 Mei 2015 . Program- program seperti tersebut diatas tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan dari pada ahli persatuan dan semua jururawat yang terlibat.
Saya amat menghargai dan mengalu-alukan sokongan anda untuk bersama-sama memantapkan perjalanan Persatuan dan sokongan berterusan pada tahun 2026 dan tahun-tahun berikutnya Saya juga menggalakan para jururawat yang belum menjadi ahli untuk menyertai Persatuan dan kongsikan ide bernas anda untuk menambahbaik pengurusan Persatuan ini juga kepada profesyen kejururawatan
Sebelum mengundur diri diawal tahun 2026 ini adalah waktu yang tepat untuk kita muhasabah diri ,refleksi diri dan memulakan langkah dengan azam baru. Semoga kita dapat mencapai tujuan dan aspirasi dalam perjalanan hidup kita masing-masing.
Saya mewakili AJK Tertinggi Persatuan mengucapkan selamat menyambut ketibaan Tahun Baru 2026 dan marilah sama-sama kita berdoa agar semua warga jururawat wira dan wirawati dimana sahaja anda bertugas sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat ,ceria ,terpelihara keselamatannya serta mendapat ganjaran sewajarnya. Teruskan tugas yang mulia dan tingkatkan semangat kerjasama dengan rakan-rakan serta semua petugas kesihatan disekeliling anda.
“BERKHIDMAT MUTU TINGGI”
Ingatan Ikhlas daripada: Hjh Tumble bt Ngadiran@Tomblow Presiden SANA (2024-2026)
Published On : 31 December 2025