Recent Articles


UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU 2026 DARI PRESIDEN SANA

Kepada Warga Jururawat di seluruh Negeri Sabah dan Individu yang bergelar jururawat dimana sahaja anda berada

Asalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Tinggal beberapa minit lagi kita akan meninggalkan tahun 2025 dan melangkah ke gerbang Tahun Baru 2026. Rasanya macam baharu saja kita berada dalam tahun 2025 dan tanpa disedari sebentar lagi kita akan menyambut kedatangan tahun 2026.

Marilah kita sama -sama menadah tangan tanda kesyukuran kerana telah melewati tahun 2025 dengan nikmat kesihatan serta rezeki yang baik dan diberikan peluang berada di tahun 2026.

Warga jururawat adalah aset berharga dalam sistem kesihatan negara kerana tugas dan tanggungjawab mereka amat penting dalam memastikan pesakit mendapat rawatan berkualiti dan professional.

Saya pasti banyak kenangan pahit manis sepanjang tahun 2025 bagi seorang yang bergelar jururawat selain menimba pembelajaran dan pengalaman baru semasa menjalankan tugas harian sama ada di-hospital-hospital Kerajaan , Swasta atau pun di fasiliti kesihatan awam.

Walaupun dengan cabaran yang tinggi dalam Industrial Revolution pada masa kini, Jururawat tetap akur memberikan perkhidmatan penjagaan terus keatas pesakit, berhubung secara langsung dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan seorang pesakit, memberi pendidikan kepada pesakit dan keluarga disamping terlibat dengan penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran dalam sistem Pentadbiran Kesihatan yang semakin canggih.

Semoga dengan ketibaan Tahun 2026 persekitaran kerja untuk warga jururawat akan lebih baik dengan adanya inovasi ,prosedur kerja yang lebih teratur serta penambahan anggota jururawat di wad-wad ataupun di klinik-klinik.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Jururawat samada yang masih bertugas atau telah bersara atas sokongan padu kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA) terutama dalam aktiviti yang dianjurkan diperingkat Induk. Antara aktiviti yang telah dijalankan sempena sambutan Hari Jururawat pada 12 Mei 2025 adalah lawatan kepada anggota jururawat yang dimasukkan di wad di hospital Queen Elizabeth 1 bersama-sama dengan Unit Kejururawatan Hospital. Acara tahunan seperti Makan Malam Hari Jururawat juga telah berjaya dianjurkan dengan kerjasama Unit kejururawatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada 16 Mei 2015 . Program- program seperti tersebut diatas tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan dari pada ahli persatuan dan semua jururawat yang terlibat.

Saya amat menghargai dan mengalu-alukan sokongan anda untuk bersama-sama memantapkan perjalanan Persatuan dan sokongan berterusan pada tahun 2026 dan tahun-tahun berikutnya Saya juga menggalakan para jururawat yang belum menjadi ahli untuk menyertai Persatuan dan kongsikan ide bernas anda untuk menambahbaik pengurusan Persatuan ini juga kepada profesyen kejururawatan

Sebelum mengundur diri diawal tahun 2026 ini adalah waktu yang tepat untuk kita muhasabah diri ,refleksi diri dan memulakan langkah dengan azam baru. Semoga kita dapat mencapai tujuan dan aspirasi dalam perjalanan hidup kita masing-masing.

Saya mewakili AJK Tertinggi Persatuan mengucapkan selamat menyambut ketibaan Tahun Baru 2026 dan marilah sama-sama kita berdoa agar semua warga jururawat wira dan wirawati dimana sahaja anda bertugas sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat ,ceria ,terpelihara keselamatannya serta mendapat ganjaran sewajarnya. Teruskan tugas yang mulia dan tingkatkan semangat kerjasama dengan rakan-rakan serta semua petugas kesihatan disekeliling anda.

“BERKHIDMAT MUTU TINGGI”

Ingatan Ikhlas daripada: Hjh Tumble bt Ngadiran@Tomblow Presiden SANA (2024-2026)

Published On : 31 December 2025


UCAPAN SELAMAT HARI JURURAWAT TAHUN 2025 DARI PRESIDEN SANA

Asalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani

Kepada semua Jururawat diseluruh Negeri Sabah dan semua individu yang bergelar Jururawat dimana sahaja anda berada

SYUKUR ALHAMDULILLAH sekali lagi saya berkesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Jururawat kepada semua Warga Jururawat samada yang masih berkhidmat atau pun yang telah bergelar pesara. Sebagai pesara jururawat saya merasa amat bangga kerana telah memilih profesyen Kejururawatan sebagai kerjaya pertama dan terakhir saya. Jasa dan pengorbanan seorang Jururawat telah mendapat pengiktirafan di serantau dunia dimana International Council Of Nursing (ICN) telah menetapkan tarikh 12 Mei sebagai sambutan Hari Jururawat bertepatan dengan tarikh kelahiran Florence Nightangle , The Founder of Modern Nursing.

Seperti biasa International Council Of Nursing akan menyediakan tema-tema yang sesuai dengan situasi semasa dan pada tahun 2025 tema yang telah diangkat adalah “Our Nurses Our Future. Caring For Nurses Strengthen Economies”. Tema ini menekankan kepada kepentingan profesyen Jururawat dalam sistem kesihatan dan impaknya kepada ekonomi globalisasi. Secara tidak langsung hasil daripada perkembangan dan pelaburan dalam bidang Kejururawatan telah menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan peningkatan status ekonomi sesebuah negara.

Pemilihan tema ini amat sesuai kerana didalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, jururawat adalah profesyen yang mendominasi sektor Kesihatan sehingga mereka diumpamakan sebagai ‘tulang belakang’ sistem Kesihatan negara. Dari segi perjawatan , jururawat juga adalah sumber tenaga manusia yang ramai dalam institusi Kesihatan Negara.

Bila kita melihat jauh kehadapan profesyen jururawat sangat-sangat diperlukan memandangkan ramai jururawat yang “senior” dan berpengalaman dengan kemahiran tinggi akan menamatkan perkhidmatan secara berperingkat disebabkan umur persaraan. Maka pihak Kerajaan perlu mengambil insiatif untuk meningkat pengambilan jururawat bukan sahaja untuk mengisi kekosongan tetapi mengambil alih kepakaran serta kemahiran yang telah ditinggalkan oleh jururawat yang bersara.

Selain itu pihak kerajaan juga perlu memberikan sokongan yang padu kepada Jururawat yang telah terlatih untuk mendapatkan latihan tambahan dalam displin tertentu contoh seperti bidang Perawatan Kebidanan, Perawatan Kesihatan Awam ,Pediatrik ,Geriatik. Selain mengikuti Latihan Pos Basik. Jururawat juga diberikan galakan untuk belajar sehingga memperolehi Ijazah, Sarjana dan keperingkat PhD sejajar dengan arus perkembangan teknologi perubatan sekarang. Antara inisiatif lain ialah menyediakan jawatan sesuai apabila mereka tamat latihan nanti dan mengekalkan mereka dalam sistem kesihatan. Ini adalah sebagai salah satu pelaburan jangka masa panjang untuk negara.

Jururawat dengan pengalaman serta kemahiran dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang saya sebut diatas amat diperlukan sebagai Subject Matter Expert (SME) sama seperti apa yang dijalani oleh Pakar-Pakar Perubatan pada masa kini. Sebagai contoh untuk negeri Sabah sendiri kita ada para jururawat yang sedang menjalani Latihan dalam Ijazah Perawatan Kesihatan Awam (PHN). Dengan adanya jururawat berkemahiran serta kepakaran yang sedemikian pasti akan membantu dalam pencapaian kehidupan yang lebih baik kepada rakyat dan seterusnya menjurus kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini saya amat menggalakkan para jururawat di Sabah yang masih jauh perjalanan kerjayanya untuk menyambung pengajian mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing. Belajar bukan sahaja untuk meningkatkan pengetahuan tetapi juga sebagai nilai tambah epada diri anda sendiri. Rebutlah peluang serta kemudahan yang ada. Dengan perkembangan digital teknologi kini proses pembelajaran sekarang semakin mudah. Tidak dinafikan dalam kehidupan sebagai seorang jururawat tugasan harian yang kita lakukan itu juga satu “lifelong learning Process”.

Walau bagaimanapun, kita di negeri Sabah khususnya masih mengalami kekurangan jururawat baik di hospital mahu pun di klinik-klinik Kesihatan. Kita amat mengharapkan Kerajaan akan terus “Caring” kepada profesyen kejururawatan dengan meningkatkan bilangan jawatan jururawat dan seterusnya memperkasakan profesyen kejururawatan seiring dengan perkembangan sektor perubatan dunia. Jangan jadikan masalah ini sebagai penghalang dalam usaha untuk meningkatkan kerjaya kita.

Sebagai Persatuan Jururawat yang julung-julung kali di Sabah kami akan terus menyokong para jururawat semua terutama dari segi meningkatkan perkembangan profesyen kejururawatan seperti mengadakan Seminar, Konferen kejururawatan, CNE on line. Berkat sokongan dari anda semua kami akan lebih berusaha untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti persatuan kearah kebaikan profesyen kejururawatan di Sabah. In sya allah.

Akhir kata, sekali lagi saya mewakili Persatuan merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada warga jururawat di mana saja anda bertugas, anda ibarat sebatang lilin yang menerangi kegelapan malam. Sewajarnya jururawat layak diberikan pengiktirafan seperti sambutan pada hari ini. Semoga anda terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang insan yang berdedikasi, empati, berdaya saing dalam penjagaan dan perawatan kepada pesakit serta sentiasa tabah dan kuat dengan segala cabaran yang mendatang. Jaga kesihatan anda selalu dan teruskan sokongan anda kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA).

“SELAMAT HARI JURURAWAT” “Our Nurses Our Future. Caring For Nurses Strengthen Economies”.

Daripada: Hajah Tumble bt Ngadiran @ Tomblow PRESIDEN SANA (2024-2026)

Published On : 31 December 2025