Recent Articles


UCAPAN SELAMAT HARI JURURAWAT TAHUN 2023 DARI PRESIDEN SANA


Asalamualaikum wbkt, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya

Syukur Alhamdulilah ke hadrat Ilahi kerana atas limpah rahmatnya sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut Hari Jururawat Antarabangsa yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun sempena dengan kelahiran Florence Nightangle “The Founder of Modern Nursing“

Tema yang dipilih oleh International Council Of Nursing (ICN) pada tahun ini sangat bermakna kepada warga Jururawat iaitu “Our Nurses Our Future”. Pilihan tema ini amat bertepatan dengan senario sekarang dimana kekurangan tenaga jururawat dialami secara global.

Semua maklum Jururawat adalah tulang belakang kepada sistem perkhidmatan kesihatan dan merupakan sumber tenaga kerja yang terbesar baik di KKM atau pun di fasiliti swasta. Jururawat bukan sahaja berada dibarisan hadapan tetapi sebagai “pillar” kepada setiap jenis perkhidmatan yang terdapat samada di hospital atau fasiliti kesihatan awam.

Peranan jururawat lebih menyerlah semasa pandemik Covid 19 dimana jururawat berada dibarisan hadapan bersama-sama berjuang menentang musuh yang tidak kelihatan dengan petugas kesihatan yang lain. Warga jururawat tetap cekal dan tabah menempuhi segala jenis cabaran seperti berhadapan dengan penularan penyakit berjangkit, karenah pelanggan yang semakin bijak serta cabaran media sosial media tanpa mengira keselamatan diri mereka.

Berlandaskan peranan besar yang digalas oleh para jururawat secara tidak langsung jururawat juga sebagai Leader (pemimpin) dalam lingkungan kerjaya mereka seperti menyelaras sesuatu aktiviti di hospital atau klinik. Contohnya para Jururawat di lapangan klinikal di hospital sudah sinonim dengan gelaran Team Leader dalam aktiviti penjagaan pesakit. Seorang Jururawat Masyarakat juga mempunyai peranan sebagai seorang ketua atau pemimpin di klinik kesihatan tempat dia bertugas.

Tanpa mengira gred hakiki, skop tugas mereka dan berbekal pengalaman serta kemahiran yang diasah sejak tamat latihan seorang jururawat secara semulajadi akan berkembang menjadi seorang Pemimpin.

Kita memerlukan warga jururawat hari ini untuk terus memimpin dan mendidik masyarakat bagi memastikan kesihatan mereka terjamin selagi hayat dikandung badan.

Sempena sambutan Hari Jururawat tahun ini saya mewakili Persatuan ingin menyeru kepada semua warga jururawat terus berusaha melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan agar lebih mampan berhadapan dengan cabaran globalisasi yang bakal melanda pada masa akan datang.

Bagi yang masih mampu untuk belajar rebutlah peluang untuk mengambil Pos Basik, Ijazah serta Sarjana Kejururawatan atau ke peringkat PhD agar lebih berdaya saing dan in sya allah suatu hari nanti warga jururawat dipandang tinggi dan disegani oleh masyarakat.

Kepada jururawat yang telah bersara,anda masih boleh menyumbang kepada sistem kesihatan dengan mengikuti aktiviti-aktiviti “Outreach” kesihatan serta sentiasa memberikan bimbingan dan motivasi kepada jururawat generasi muda.

Pesanan kepada semua jururawat yang masih bertugas agar menjaga tatasusila serta nilai-nilai murni seorang jururawat yang “Caring” walaupun dimana anda bertugas dan sentiasa menjaga kesihatan sendiri. Sentiasa bekerjasama dengan anggota kesihatan yang lain sebagai satu pasukan demi merealisasikan misi dan misi Kementerian Kesihatan. Jururawat memainkan peranan penting dalam mengubah takrif kesihatan rakyat sejagat dan jasa mu tetap dikenang sampai bila-bila dan andalah pemimpin masa hadapan.

Akhir kalam, terima kasih atas pengorbanan anda Seumpama lilin yang menerangi kegelapan dan teruskan sokongan Tuan/Puan kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA)

Happy Nurses Day, ”Our Nurses Our Future”

Ingatan Ikhlas daripada:

Presiden SANA

Ahli EXCO SANA (2022-2024)

Posted on 12 May 2023


UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 2023 DARI PRESIDEN SANA


Kepada semua Jururawat diseluruh Negeri Sabah dan semua Individu yang bergelar jururawat dimana sahaja anda berada

 

Asalamualaikum dan Salam Sejahtera ,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan “Syabas dan Tahniah” kepada anda semua kerana memilih Profesion yang mulia ini sebagai bidang kerjaya tuan/puan. Sebagai seorang pesara jururawat pilihan yang kita buat adalah satu keputusan yang amat tepat kerana pekerjaan ini bukan sahaja sebagai satu ibadah tetapi memberi banyak faedah yang besar kepada diri kita serta orang-orang yang berada disekeliling kita iatu keluarga kita yang tercinta.

Walaupun pun terasa penat melayan karenah pesakit namun tetap ada segelumit rasa kepuasan didada kita apabila pesakit / klien yang kita jaga dalam keadaan selesa atau pun sembuh dari masalah penyakit mereka. Lagi terasa kebanggaan dalam diri kita apabila jasa dan sumbangan kita dihargai oleh mereka dengan ucapan terima kasih atau pun apa-apa bentuk pengiktirafan.

Syukur Alhamdulilah pada tahun ini kita semakin terhindar dari pandemik Covid 19 dan berpeluang menyambut Syawal dalam keadaan seperti sediakala. Kepada yang dapat bercuti pastikan anda sentiasa menjaga keselamatan diri dan adab sopan semasa berkunjung kerumah saudara mara dan sahabat handai. Bagi jururawat yang dijadualkan bertugas semasa Aidil Fitri mohon bersabar mungkin giliran anda beraya di wad kali ini dan tetap bersemangat menjalankan tugas demi negara.

Ramadan telah kita tinggalkan, syawal mulia kian menjelma, Aidilfitri berbahang gembira ,disambut dengan rasa suka. Dikesempatan ini saya mewakili JWK Induk SANA mengucapkan Selamat Hari raya Aidilfitri, selamat bergembira kepada semua warga jururawat samada yang bercuti , bertugas atau yang telah bersara. Pesanan dari saya sentiasa jaga kesihatan,pelihara nilai-nilai murni dan ketrampilan anda sebagai seorang Jururawat yang cemerlang dimana saja anda berada.

Tiba kita dimusim perayaan

Ramai juga yang shopping sakan,

Salam lebaran saya ucapkan

Dihari raya saling bermaafan,

Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin

 

Ikhlas dari saya,

Hajah Tumble bte Ngadiran @Tomblow

PRESIDEN SANA (2022-2024)

Posted on 22 April 2023


UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU 2023 DARIPADA PRESIDEN SANA


Kepada semua Jururawat diseluruh Negeri Sabah dan luar Negeri Sabah termasuk semua Individu yang bergelar jururawat dimana sahaja anda berada

Asalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2022 dan beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2023. Begitu pantas waktu berlari tanpa di sedari usia perkhidmatan kita sebagai seorang jururawat juga bertambah dan begitu juga perjuangan yang telah kita lalui sepanjang menjadi seorang Jururawat.

Sebagai pembuka bicara , saya ingin mengucapkan SYABAS kerana anda jururawat wira wati tetap berada dibarisan hadapan walaupun serangan Covid-19 mula reda namun anda tetap dalam kesiapsiagaan setiap masa samada yang bertugas di Kesihatan atau di Hospital.

Seperti sedia maklum ada dikalangan kita sudah menempuh tahun sebelumnya dengan penuh rintangan dan cabaran dan pastinya terdapat banyak peristiwa yang pahit mahupun yang manis terjadi dalam kehidupan masing-masing sepanjang 365 hari tersebut. Saya berharap biarlah peristiwa tersebut menjadi sejarah dalam kehidupan sebagai seorang petugas kesihatan dan juga sebagai panduan pada masa akan datang.

Walaupun telah bersara dari perkhidmatan namun saya masih dapat membayangkan perasaan , tekanan serta penat jerih yang anda semua lalui apa lagi bertugas dalam keadaan sekarang dimana pertambahan pesakit, kemajuan teknologi perubatan telah berjaya mengesan banyak masalah perubatan membuatkan persekitaran tempat kerja sentiasa sibuk dan hingar bingar. In sya allah anda semua akan mendapat ganjaran sewajarnya atas tugas yang mulia ini.

Dikesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Jururawat samada yang masih bertugas atau bersara atas sokongan padu kepada Persatuan Jururawat Sabah (SANA). Teruskan sokongan anda untuk memantapkan dan mengembangkan Persatuan ini kerana tanpa anda Persatuan kita tidak akan melangkah kehadapan.Saya amat mengalu-alukan ide bernas untuk menambaikan pengurusan Persatuan ini.

Sepanjang tahun 2022 , banyak pencapaian telah dicapai melalui kerjasama AJK Induk serta ahli –ahli Persatuan dari seluruh Negeri. Antaranya sambutan Hari Jururawat secara Maya, mengadakan CNE berjadual secara talian, Mesyuarat Agung secara maya, menaja ahli menghadiri seminar dan konferen yang diadakan dalam negeri serta penganjuran Gala Night dengan sambutan yang menggalakkan. Semua ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan anda semua.

Kepada warga jururawat yang berkeinginan untuk belajar teruskan usaha dengan lebih kuat lagi maka kejayaan yang lebih tinggi dan impian dalam kerjaya yang mahu direalisasikan mampu dizahirkan dengan sempurna.

Ucapan Tahniah dan syabas juga saya selitkan khas kepada Jururawat yang telah mendapat kenaikan pangkat dan gred sepanjang tahun 2022 .Saya doakan semoga anda lebih cemerlang di tempat atau posisi yang baru. Bagi yang belum ada rezeki mohon terus bersabar sebab giliran anda akan tiba jua dan teruskan berkhidmat dengan dedikasi dan berkualiti. Pesanan saya kepada anda semua tidak kira jawatan yang anda pegang , dimanapun anda bertugas pastikan klien tetap dihormati dan sentiasa amalkan aplikasi 10 S dalam budaya kerja harian.

Tidak lupa juga saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ybhg. Datuk Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, sebagai Penasihat kepada Persatuan diatas sokongan yang berterusan kepada Persatuan ini sepanjang tahun 2022.

Akhir kalam sekali lagi terima kasih kepada AJK Induk atas sokongan serta perjuangan tanpa henti bersama-sama saya menjalankan amanah yang diberikan.

Jiwa akan sepi tanpa teman,
Hati akan Mati tanpa iman
Hari ini adalah kenyataan,
Semalam adalah kenangan,
Esok adalah impian
Jadi, sucikan lah hati
Jernihkan fikiran
Sambutlah Tahun Baru dengan keazaman baru

“BERKHIDMAT MUTU TINGGI”

Ingatan Ikhlas daripada:


Presiden SANA
(2022-2024)

Posted on 31 December 2022


UCAPAN TERIMA KASIH DAN PENGHARGAAN DARI PERSATUAN JURURAWAT SABAH KEPADA YB MENTERI KESIHATAN - 28 SEPTEMBER 2022


Posted on 03 October 2022


UCAPAN SELAMAT HARI JURURAWAT TAHUN 2022 DARI PRESIDEN SANA


Kepada Semua Jururawat di Malaysia khususnya Yang Bertugas di Negeri Sabah

ASALAMUALAIKUM, SALAM SEJAHTERA, SALAM AIDILFITRI

Pertama sekali saya ingin mengucapkan Syukur Alhamdulilah kerana sekali lagi kita bersama-sama menyambut Hari Jururawat Sedunia yang diraikan pada 12 Mei 2022 .Tarikh ini dipilih bertepatan dengan kelahiran Florence Nightangle “The founder of Modern Nursing“ dan setiap tahun International Council Of Nursing menentukan tema sambutan yang berlainan. Pada tahun ini tema yang dipilih adalah “A Voice to lead: Invest in Nursing and Respect Rights To Secure Global Health”.

Tema ini memfokuskan kepada kepentingan jururawat dalam sistem kesihatan dan betapa khidmat jururawat berganding dengan tenaga kerja kesihatan yang lain amat diperlukan apabila WHO mengistiharkan Covid-19 sebagai Pandemik pada bulan Mac tahun 2020.

Perjuangan  pengorbanan serta komitmen tinggi para jururawat yang bertugas siang dan malam, memberikan perkhidmatan kepada pesakit semasa pandemik tanpa mengira latar belakang, mereka telah memberikan impak yang besar di mata masyarakat dan amat disanjungi di merata dunia.

Berikutan pandemik yang melanda hampir seluruh dunia, keperluan seorang jururawat yang berpengalaman dan dilengkapi dengan latihan pos basik seperti perawatan Rapi, Kawalan Infeksi sangat kritikal termasuk negara kita sendiri. Keadaan pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi akibat dijangkiti virus covid-19 memerlukan kemahiran serta kepakaran jururawat bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang sewajarnya dan keselamatannya terjamin.

Peningkatan keperluan tenaga jururawat juga sangat mendesak sehingga pihak Kementerian terpaksa mengambil jururawat secara kontrak bagi memenuhi keperluan di hospital-hospital, dan juga Pusat kuarantin Berisiko Rendah.

Bagaimanapun sebagai seorang jururawat adalah penting untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah holistik, sentiasa memenuhi standard dan tahap pengetahuan sentiasa dikemaskini .Maka disini saya ingin menasihati para jururawat yang baru dalam profesion yang mulia ini, tampillah ke hadapan untuk mempersiapkan diri dengan mengikuti kursus pos basik atau kepakaran yang diperlukan di hospital, klinik kesihatan atau mana sahaja anda bertugas.

Seorang jururawat yang cemerlang bukan sahaja perlu ada ciri-ciri penyayang, sensitif tetapi perlu berfikiran kritis dan boleh membuat keputusan yang bijak terutama dalam situasi kecemasan atau ketiadaan ketua atau penyelianya. Sekiranya anda terus berusaha dan bekerja keras untuk mencapai tahap akademik yang lebih tinggi seperti Ijazah, Sarjana dan ke peringkat PhD. Insya Allah, jururawat di Sabah setanding dengan jururawat di persada antarabangsa.

Tema tahun ini bukan sahaja mensasarkan keperluan tenaga jururawat tetapi juga pentingnya untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat kepada warga jururawat bagi memastikan mereka sentiasa bekerja dalam keadaan sihat dan selesa bagi mengoptimakan penyampaian perkhidmatan kepada klien.

Kepada pemimpin jururawat, menjadi tanggunjawab kita bersama untuk memastikan anak buah kita aktif dan ceria ditempat kerja serta terpelihara kesihatan mental mereka. Selalulah berinteraksi dengan mereka dan selami jiwanya serta berikan bimbingan kepada yang muda.

Saya amat mengkagumi kecekalan dan semangat kental warga jururawat di Sabah yang sehingga hari ni masih berjuang memutuskan rantaian Covid-19 walaupun kita sedang dalam transisi ke fasa endemik. Terdapat jururawat kita yang sedia bertugas dalam keadaan yang serba kekurangan, meredah bukit dan sungai, di bawah sinaran matahari dan titisan hujan demi memastikan masyarakat menerima perkhidmatan yang disediakan. Yang berkeluarga pula sanggup berpisah demi memenuhi arahan dan menjalankan amanah yang telah dipegang.

Saya mewakili Persatuan merakamkan ucapan Syabas dan tahniah kepada jururawat wira dan wirawati dimana sahaja anda bertugas dan anda semua layak diiktiraf seperti sambutan pada hari ini.

Sebagai penutup bicara dari saya:_

Pandemik Covid -19 berlalu sudah,
Fasa endemik baru bermula,
Pengalaman baru dilupa tiada,
Kepada Jururawat Wirawati dan Wira,
Anda sehebat Pejuang Negara,
Doa kami mengiringi anda.

Selamat Hari Jururawat kepada semua

Sekian dan terima kasih

Daripada,
Hajah Tumble Bte Ngadiran @ Tomblow
PRESIDEN SANA (2020-2022)

Posted on 12 May 2022




Sabah Nurses Association, Lot 13-3, Block B, Lintas Square, Jalan Lintas, 88300, Kota Kinabalu Sabah

Disclaimer: SANA shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website


© 2024 - Sabah Nurses Association. Powered by CAL Computer Learning Centre